Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan ahli-ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga (3) tahun, berkuat kuasa 1 November 2016. Menurut peruntukan seksyen [53], Akta Bank Negara Malaysia 2009, pelantikan ahli-ahli MPS ini telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ahli-ahli MPS yang dilantik bagi tempoh baharu tahun 2016-2019 adalah seperti yang berikut:
- Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman – Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara;
- Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri – Mufti Wilayah Persekutuan;
- Datuk Dr. Mohd Daud Bakar – Pengerusi Eksekutif, Amanie Advisors;
- Dato’ A. Aziz. A. Rahim – Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia;
- Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin – Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA);
- Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali – Profesor, Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM);
- Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim – Ketua Pegawai Eksekutif, ISRA Consultancy;
- Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim – Profesor Madya, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM);
- Dr. Shamsiah Mohamad – Penyelidik Kanan, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA); dan
- En. Burhanuddin Lukman – Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA).
Ahli-ahli MPS yang dilantik merupakan individu-individu yang berkelayakan, cekap dan terkemuka dalam kalangan ulama Syariah dan ahli undang-undang. Mereka berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, undang-undang, dan aplikasi Syariah, khususnya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.
Sebagai badan berautoriti tertinggi dalam penentuan hukum Syarak bagi kewangan Islam, MPS memainkan peranan penting untuk memastikan ketekalan resolusi Syariah yang diaplikasikan dalam industri kewangan Islam. Resolusi Syariah MPS merupakan sumber rujukan utama bagi institusi kewangan Islam bagi memastikan pematuhan Syariah dalam penstrukturan dan pelaksanaan produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta menggalakkan inovasi produk. Selain itu, MPS juga merupakan badan rujukan bagi mahkamah dan penimbang tara dalam mengendalikan dan membuat keputusan bagi kes-kes yang berkaitan dengan kewangan Islam.