Seumur hidup aku ni, dah tiga (3) kali aku kena buang kerja.
Kali pertama, pada 19 Februari 2019, aku dan seorang rakan setugas dipecat. Surat pemecatan beri alasan penyusunan semula organisasi.
Kemudian, Covid-19 mula melanda dunia di penghujung 2019 dan pada 18 Mac 2020, Malaysia isytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bawak Grab Car masa ni memang mencabar.
Selain dari kerja sebagai Licensed Financial Planner & Unit Trust Consultant, aku bawak Grab sambil-sambil tu mohon kerja dan pergi interview.
Alhamdulillah, September 2021, dapat kerja. Malangnya, lepas sebulan, pada 18 Oktober 2021, aku dipecat (sekali lagi). Itulah pemecatan kali kedua.
Bulan Mac 2022, aku dah ready nak buat Lalamove. Aku siap dah beli motor., beli baju hujan beli phone holder untuk motor. Tiba-tiba pada 22 Mac 2022, aku dapat kerja. Syarikat ni pecat aku pada 03 September 2022, aku dipecat lagi; pemecatan kali ketiga.
Pemecatan kali pertama (2019), aku jahil lagi masa tu. Aku ingat pemecatan tu adalah pemecatan yang sah. Lama lepas tu baru aku tau, pemecatan pada 2019 tu adalah tidak sah. Fuh. Kalau lah aku tahu masa tu, ada potensi dapat pampasan mencecah RM162,000.00.
Pemecatan yang kedua (2021), aku nekad takkan biar pisang berbuah dua kali.
Langkah pertama, aku failkan representasi pemulihan pekerjaan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Isi borang representasi pemulihan kerja ni (Representasi Di Bawah Sek. 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967) dan emailkan terus je JPP Negeri masing-masing. Borang ni mesti sampai ke JPP dalam masa 60 hari dari tarikh pemecatan. Nasihat aku, jangan tunggu, jangan bertangguh. Download borang ni dengan senyuman, sign dua salinan, dan hantar je JPP terdekat.
Lepas pemecatan kali kedua, borang representasi pemulihan kerja tu, aku sign digital je, lepas tu, attach dengan email, attach sekali, kontrak kerja, slip gaji dan surat pemecatan dan email ke JPP Negeri.
Pemecatan kali ketiga, aku taip borang repesentasi pemulihan kerja tu, dan aku email kepada JPP Negeri. Ade perbezaan pendapat dalam isu aku tak nak sign borang representasi mengikut format mereka. Cerita pendeknya aku menang dan representasi pemulihan kerja yang aku taip dalam email tu diterima seadanya tanpa tanda tangan aku.
2022-09-08 1414HRS Representasi Di Bawah Sek. 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 redacted
Selepas pemecatan kali kedua (2021), aku beli buku Navigating Employment Disputes in Malaysia tulisan peguam terpelajar Donovan Cheah. Ada dua versi buku ni, satu buku bercetak (fizikal), satu versi eBook. Aku beli eBook je sebab nak memudahkan aku guna function search. Pada tarikh aku beli buku ni, 30 Oktober 2021, harga buku ni cuma RM243.80. Sekarang, Disember 2024, dia baru keluar edisi kedua, harga ebook je RM291.60. Trust me bro! Kitab ni memang worth it.
Berbekalkan pengalaman aku turun naik Tribunal Pengurusan Strata, dan ilmu yang diperturunkan Peguam terpelajar Donovan Cheah dalam kitab tulisan beliau di atas, aku susun langkah untuk ke Mahkamah Perusahaan.
Kisah pengembaraan ni, aku akan fokus pada pemecatan kali ketiga (2022). Sebab pemecatan kedua (2021) kami settle di luar Mahkamah.
Kronologi adalah seperti berikut:
03 Sept 2022 – Tarikh akhir bekerja.
08 Sept 2022 – Email representasi pemulihan kerja difailkan ke JPP
21 Sept 2022 – Sidang runding damai dikendalikan JPP, dihadiri kedua-dua belah pihak.
Sidang runding damai gagal. Majikan enggan ambil kembali bekerja. JPP akan sediakan laporan dan hantar laporan ke JPP @ Putrajaya.
Enam (6) bulan dan dua puluh satu (21) hari kemudian pada …
11 April 2023 – Aku terima surat dari JPP @Putrajaya bertarikh 05 April 2023. Surat tu memaklumkan representasi aku telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.
2023-04-11 1359HRS Rujukan ke Mahkamah Perusahaan_redacted_blurred
15 April 2023 – Surat di atas takde nombor kes Mahkamah, jadi lepas aku terima surat tu, aku buat carian di website Mahkamah Perusahaan untuk dapatkan nombor kes aku. Senang je, pergi ke https://www.mp.gov.my/onlineservices/case_manage.php, dan masukkan nama sendiri di ruang “Claimant/Complainant/Union“.
Langkah seterusnya, aku akan ke website e-Filing Mahkamah Perusahaan https://www.mp.gov.my/ef/. Klik [Sign up]. Lengkapkan maklumat yang diminta, masukkan nombor kes dan submit. Tunggu Mahkamah Perusahaan balas dalam sehari dua dia akan bagi maklumat untuk login.
16 April 2023 – Permohonan akses e-Filing Mahkamah Perusahaan diluluskan.
e-Filing ni penting, sebab, ia adalah medium pemfailan dan penyampaian dokumen kepada pihak-pihak dalam pertikaian.
25 Mei 2023 – Terima panggilan dari Jurubahasa Mahkamah, memaklumkan tarikh pengurusan kes. Tips: make sure catit nama Jurubahasa, pukul berapa dia call dan apa yang dimaklumkan.
27 Mei 2023 – Terima email dari Jurubahasa kepada kedua-dua pihak memaklumkan tarikh dan masa Pengurusan Kes.
2023-05-26 Notis eMention Muhammad Khairul Anwar
Pengurusan kes, biasanya dijalankan secara atas talian. Jadi email dari Jurubahasa tu akan maklumkan pautan untuk sertai prosiding pengurusan kes yang dijadualkan.
30 Mei 2023 – Pengurusan kes pertama berlangsung. Mula jam 11:00 pagi. 25 minit selesai.
[MUSTAHAK] Pastikan catat/screenshot maklumat-maklumat penting dalam perbualan tu sebelum tutup tab/window broswer yang mengandungi chat tu.
Contoh:
Pihak-pihak akan diberikan arahan untuk pemfailan dokumen ke Mahkamah seperti berikut :
1. Penyataan Kes (Statement of Case) hendaklah difailkan oleh Pihak Yang Menuntut selewat-lewatnya sebelum / pada tarikh 28.06.2023
2. Penyataan Jawapan (Statement in Reply) hendaklah difailkan oleh Syarikat sebelum / pada tarikh 28.07.2023
3. Rejoinder (jika ada) hendaklah difailkan oleh Pihak Yang Menuntut sebelum / pada tarikh 28.08.2023
- Pihak-pihak wajib berdaftar dengan e-filing melalui pautan berikut : http://www.mp.gov.my/ef/. Jika anda diwakili oleh peguam, memadai hanya peguam yang berdaftar sebagai pengguna e-filing.
- Setiap pemfailan dokumen perlu dimuatnaik melalui portal e-filing Mahkamah Perusahaan Malaysia. Pihak-pihak yang tiada akaun e-filing, sila daftar segera. Sebarang pertanyaan
berhubung perkara berkaitan, mohon hubungi jurubahasa Mahkamah melalui telefon atau emel.- Bagi setiap dokumen pemfailan, salinan keras (hardcopy) juga perlu diserahkan kepada Mahkamah sebanyak dua (2) salinan melalui serahan secara tangan atau serahan secara
perkhidmatan kurier.- Jika pihak-pihak tidak memahami cara memfailkan dokumen, sila hubungi jurubahasa
Mahkamah 13 selepas sesi e-Sebutan ini berakhir, untuk penerangan lanjut sewajarnya.
Masa kes pemecatan kali kedua (kali pertama ke Mahkamah Perusahaan), Mahkamah pada masa tu terus tetapkan tarikh bicara semasa sidang pengurusan kes pertama.
Berbeza dengan pemecatan ketiga (kali kedua ke Mahkamah Perusahaan), Mahkamah hanya tetapkan tarikh bicara pada sidang pengurusan kes kedua.
27 Jun 2023 – Upload Pernyataan Kes ke e-Filing. Dan hantar 2 salinan keras ke Mahkamah Perusahaan. Masa kali pertama (pemecatan kedua) nak failkan salinan keras Pernyataan Kes ke Mahkamah, aku tak buat surat iringan (cover letter). Staff di kaunter tu bagi aku kertas kosong, suruh aku tulis tangan. Lepas daripada tu, setiap kali aku nak fail apa-apa dokumen kat Mahkamah, aku akan hadir dengan dua (2) salinan cover letter. Satu untuk Mahkamah, satu lagi Mahkamah akan cop ‘TERIMA’ untuk rekod simpanan aku.

04 Ogos 2023 – Terima Pernyataan Jawapan dari peguam pihak syarikat secara email. Peguam pihak syarikat pulak memang baik hati, hantar salinan fizikal ke rumah, jimat kos cetakan 🙂
08 September 2023 – Aku failkan Rejoinder (jawapan kepada Pernyataan Balas pihak syarikat).
11 September 2023 – pengurusan kes yang kedua. Mahkamah tetapkan tarikh perbicaraan pada dan tarikh pemfailan Penyata Saksi
15 Januari 2024 – Peguam pihak syarikat failkan penyata saksi dan ikatan dokumen tambahan. Sekali lagi, peguam pihak syarikat, baik hati hantar salinan keras ke rumah, jimat kos cetakan aku.
26 Januari 2024 – Aku failkan Penyata Saksi aku sebagai penuntut.
[MUSTAHAK] Jangan tandatangan penyata saksi tu. Penyata saksi mesti ditandatangan depan Hakim dalam Mahkamah selepas dah angkat sumpah.
01 Mac 2024 – Hari perbicaraan. Pihak syarikat panggil saksi, lepas dah angkat sumpah, selesai tandatangan penyata saksi dia, aku diberi ruang untuk soal balas saksi pihak syarikat.
16 Jun 2024 – Sambung perbicaraan. Kali ni, giliran pihak syarikat pula untuk jalankan soal balas terhadap aku.
Mahkamah bagi tarikh-tarikh untuk failkan Hujahan Bertulis dan Hujahan Balas.
13 Ogos 2024 – Aku upload Hujahan Bertulis ke e-Filing. Aku tak hantar salinan keras untuk Mahkamah.
13 September 2024 – Aku upload Hujahan Balas, dan aku failkan satu (1) salinan Hujahan Bertulis dan Hujahan Balas ke Mahkamah.
Jurubahasa pesan kat kami, Hakim ni akan habis kontrak hujung bulan Oktober. Jadi Award (keputusan) nanti tak tahu siapa yang akan beri, apa pun Award selalunya akan keluar lepas tiga bulan.
13 Disember 2024 – Aku email ke Presiden Mahkamah Perusahaan, mohon makluman Award kes aku.
19 Disember 2024 – Award diterbitkan di website Mahkamah Perusahaan.
24 Disember 2024 – jam 1237 pagi, aku baru nak baring tidur. Saja la semak website Mahkamah Perusahaan, baru dapat tahu Award kes aku dah keluar. Terus tak boleh tido sampai pukul 3:30 pagi.
The rest, is history. Dari hari terakhir kerja 03 September 2022 hingga tarikh Award diterbitkan 19 Disember 2024, hanya mengambil masa:
Kalau berminat nak baca ringkasan kes, boleh rujuk artikel ni.
Nak bawak sendiri tuntutan ke Mahkamah Perusahaan ni sangat mudah:
- Mesti sentiasa nak belajar sesuatu yang baru, dan
- Jiwa kena kental,
Kalau perlu bantuan untuk diwakili di Mahkamah Perusahaan, boleh mohon dengan:
- Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), atau
- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
Kalau ada kemampuan kewangan, boleh je lantik peguam untuk mewakili tuntutan di Mahkamah Perusahaan.
M.K. Anwar Rangkuti, CFPCERT TM
|| Supreme Content Commander, TuanPenasihat.com
|| Licensed Financial Planner #eCMSRL/B6984/2016
|| FIMM UTC #043-0-21048 || FIMM PRC #P-043-0-20218
|| Luno Referral Code #SJS8S2
|| Tel: +60-12-7700721 [Telegram]
@mkanwar21 Di Mahkamah Perusahaan petang semalam. Pemeriksaan balas saksi pertama pihak syarikat. Syarikat nak bawa 4 saksi untuk beri keterangan. Menang belum tentu. Tapi buat masa ni, kita raikan kemenangan kecil seadanya untuk pihak pekerja. Lawan tetap lawan. Dapat beri Pihak Yang Menuntut saksikan dengan dua biji matanya sendiri, bagaimana saksi ‘bintang’ pihak syarikat terkebil-kebil semasa pemeriksaan balas, adalah nikmat yang tersendiri. #MahkamahPerusahaan #IndustrialCourt #ElementaryMyDearWatson ♬ original sound – mkanwar21