KWSP Menyemak Semula Senarai Dana Amanah Untuk 2017/2018

KUALA LUMPUR, 28 Februari 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuatkuasa dari 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2018.

Senarai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA KWSP adalah dana-dana yang telah dibuat penilaian tahunan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Mana-mana dana yang tidak mencapai kriteria minimum penilaian tahunan tersebut akan digantung dan tidak boleh ditawarkan dalam tempoh tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, “Sebanyak 269 dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah SPA KWSP daripada 22 IPD untuk tempoh 2017/2018 berbanding 313 dana unit amanah daripada 23 IPD untuk tempoh 2016/2017.”

Senarai Dana dan IPD mengikut Kategori

Kategori

Dana

2016/2017

(Berkuatkuasa 1 April 2016)

2016/2017

(Setakat 28 Februari 2017)

2017/2018

(Berkuatkuasa 1 Mac 2017)

Dana yang Layak Ditawarkan IPD Dana yang Layak Ditawarkan IPD Dana yang Layak Ditawarkan IPD
Ekuiti 113 20 175 21 146 20
Aset Campuran 54 17 66 18 56 17
Bon 36 12 41 13 36 12
Pasaran Wang 30 18 30 18 30 18
Amanah Hartanah 1 1 1 1 1 1
234 313 269

 

Senarai Dana Tempatan dan Asing mengikut Kategori

Kategori

Dana

2016/2017

(Berkuatkuasa 1 April 2016)

2016/2017

 (Setakat 28 Februari 2017)

2017/2018

(Berkuatkuasa 1 Mac 2017)

Dana Tempatan Dana Asing Dana Tempatan Dana Asing Dana Tempatan Dana Asing
Ekuiti 105 9 112 64 94 52
Aset Campuran 47 6 48 17 45 11
Bon 36 0 39 2 35 1
Pasaran Wang 30 0 30 0 30 0
Amanah Hartanah 1 0 1 0 1 0
219 15 230 83 205 64

 

Bagi tempoh tawaran 2017/2018, KWSP telah meningkatkan skor kelayakan minimum pengiraan “”Purata Mudah Untuk Pulangan Konsisten/Simple Average Consistent Return (SACR)” yang wajib dicapai kepada 2.33 dari 2.00 sebelumnya. Ini bagi menjamin kepentingan ahli yang melabur di bawah SPA KWSP melalui penyingkiran dana atau IPD yang menunjukkan prestasi rendah.

SACR diperkenalkan oleh KWSP pada tahun 2010, dan dikira berdasarkan prestasi agregat sesebuah dana dalam tempoh tiga tahun, dibandingkan dengan prestasi dana dalam kumpulan yang setaraf serta pencapaian industri.

“IPD telah dimaklumkan bahawa skor kelayakan minimum akan dinaikkan secara berperingkat bagi menjamin kualiti dana yang ditawarkan di bawah skim ini. Memandangkan KWSP telah meningkatkan skor kelayakan minimum kepada 2.00 daripada 1.67 pada tahun 2013, kini tepat masanya untuk meningkatkan lagi skor tersebut kepada 2.33”, Dato’ Mohamad Nasir berkata.

Beliau menambah, “Senarai baru turut menyediakan pelbagai pilihan kepada ahli yang ingin mempelbagaikan pelaburan mereka, berikutan pembatalan had 30 peratus pendedahan kepada pelaburan asing yang telah berkuatkuasa pada Ogos 2016. Ahli kini berpeluang melanggani dana yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta memanfaatkan pelbagai peluang yang terdapat di pasaran-pasaran asing”.

SPA KWSP membenarkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi meningkatkan simpanan persaraan mereka. Berkuatkuasa 1 Januari 2017, ahli boleh memindahkan simpanan tidak melebihi 30 peratus (daripada tidak melebihi 20 peratus sebelumnya) setiap tiga bulan daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui IPD yang dilantik.

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi memastikan ahli mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM228,000 apabila mencapai umur 55 tahun. Kadar Simpanan Asas ini ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam bersamaan RM950 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.

Ahli KWSP adalah diingatkan bahawa pelaburan di bawah SPA KWSP adalah pilihan ahli sendiri dan menjadi tanggungjawab ahli sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan berpandukan objektif dan risiko pelaburan yang bersesuaian dengan profil risiko masing-masing. Ahli adalah disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim ini.

KWSP juga telah menyediakan satu Portal Informasi Skim Pelaburan Ahli, di mana portal ini boleh dilayari secara percuma melalui i-Akaun ahli. Melalui portal ini, ahli boleh mendapatkan maklumat dan informasi berkenaan IPD, dan prestasi dana-dana unit amanah yang diuruskan oleh IPD tersebut di bawah skim ini untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum.

“Walaupun KWSP meluluskan dana-dana unit amanah di bawah SPA KWSP, ianya tidak bermakna kami membuat sebarang cadangan atau syor kepada ahli terhadap mana-mana dana unit amanah tersebut,” Dato’ Mohamad Nasir berkata.

Bagi melindungi integriti skim dan kepentingan ahli yang melabur melaluinya, KWSP telah mengeluarkan garis panduan kepada IPD. Ianya adalah untuk mengawalselia IPD agar menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. KWSP juga melantik juruaudit bebas bagi menjalankan pengauditan tahunan ke atas IPD. KWSP boleh mengenakan tindakan seperti amaran bertulis, denda monetari, menggantung ataupun menarik balik pelantikan sekiranya IPD gagal mematuhi arahan-arahan dan garis panduan yang dikeluarkan.

Untuk mendapatkan senarai penuh dana yang ditawarkan di bawah setiap IPD yang dilantik, ahli boleh melayari laman web KWSP di pautan: http://www.kwsp.gov.my/portal/en/web/kwsp/member/members-savings-investment-withdrawal/appointed-fund-management-institutions-unit-trust-fund-under-the-epf-s-members-investment-scheme

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *